FAKTA



Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 yang bersidang pada 13-15 Oktober 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Qurban Dan Aqiqah Ke Atas Haiwan Import Yang Tidak Diketahui Umurnya. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa Qurban dan Aqiqah telah disyariatkan dalam al-Quran dan Sunnah dan kedua-duanya merupakan sembelihan sunat yang bertujuan untuk taqarrub kepada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum Qurban dan Aqiqah ke atas haiwan yang diimport adalah berdasarkan hukum yang telah disepakati oleh para fuqaha’, iaitu bagi anak kambing muda ianya sesuai untuk dijadikan qurban apabila umurnya genap setahun dan telah masuk ke tahun yang kedua. Manakala bagi unta disyaratkan umurnya memasuki enam tahun dan bagi kambing dan lembu pula hendaklah telah memasuki umur tiga tahun. Bagi biri-biri pula hendaklah memasuki umur dua tahun.

Muzakarah juga menasihatkan para pengimport haiwan ternakan untuk tujuan ibadah Qurban atau Aqiqah hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mempastikan haiwan import tersebut mencukupi syarat-syarat yang ditetapkan kerana Qurban dan Aqiqah merupakan satu amal ibadah yang bersifat ta’abbudiyyah yang perlu dilaksanakan secara sempurna.

SUMBER
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-qurban-dan-aqiqah-ke-atas-haiwan-import-yang-tidak-diketahui-umurnya

No comments:

Post a Comment