Thursday, March 13, 2014

PERBEZAAN ANTARA AQIQAH DAN QURBAN.


Di antara perbezaan aqiqah dengan qurban: 

1.      Aqiqah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidil Adha hingga 13 Zulhijjah. 

2.      Daging aqiqah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin. 

3.      Aqiqah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah, manakala qurban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Ismail. 


4.      Daging qurban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging aqiqah sunat disedekahkan setelah dimasak.

Tuesday, March 11, 2014

APAKAH AQIQAH

PENGERTIAN  AQIQAH
Aqiqah ialah sembelihan binatang an ‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t

Sabda Rasullullah s.a.w
كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى .

Maksudnya:
"Setiap bayi itu tergadai dengan  aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."
(Riwayat Abu Daud)

Hukumnya ialah sunat mu’akkadat bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

            Waktu pelaksanaannya ialah  dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut. 

 SYARAT  PENYEMPURNAAN AQIQAH
1.       Berniat aqiqah ketika menyembelih.
2.       Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur. 

 PERKARA SUNAT SEMASA AQIQAH

1.       Berdoa semasa hendak menyembelih:

 
بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut nama anak)
Maksudnya:
"Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini   aqiqah….

2.       Menyembelih ketika matahari sedang naik.

3.       Daging aqiqah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan. 

4.       Tidak mematah-matahkan tulang-tulang daripada binatang  aqiqah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.

5.       Menyedekahkan daging  aqiqah kepada fakir miskin. 

6.       Memasak daging ‘aqiqah dengan cara gulai manis untuk dihidangkan kepada tetamu. 


 HIKMAH AQIQAH
Di antara hikmahnya;

1.       Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.

2.       Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah.

3.       Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan. 

4.       Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang dikurniakan anak.


5.       Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah.